Hai semua. Alhamdulillah bertemu kembali kita. Pada entri yang lalu Umi telah menceritakan pengalaman Umi dan adik-adik menolong 'Mak' membuat dan menjual kuih-muih yang istimewa. Kisah yang ingin Umi kongsikan kali ini masih berkisar tentang 'Mak'. Rasanya memang kena benar tajuk entri kali ini. Maklumlah kita sudah menghampiri bulan Ramadan yang mulia. Seterusnya sudah tentulah terujanya hendak menyambut Hari Raya pula. Siapa yang tidak suka Hari Raya kan?
Apa pula kaitannya duit raya dengan 'Mak' kali ini? Jom baca sampai habis entri Umi ye.
Alkisahnya, Umi dan adik-adik dahulu suka sangat bila hendak menjelang Hari Raya. Apa tidaknya, berlumba mengumpul duit raya. Istimewanya, setiap kali tiba bulan puasa Umi dan adik-adik sudah berkira-kira berapa duit raya yang perlu dikumpul daripada 'Mak'. Hmmmm...'Mak' bagi duit raya bukan kosong sahaja, ada tugas yang perlu dilunaskan.
Cuba teka, apa dia 'tugas' yang dimaksudkan?
Kuih Tart, memang kegilaan Umi!
Tugas yang misteri sangat itu adalah TOLONG 'MAK' BUAT KUIH RAYA...banyak tau!!! Serius patah pinggang masing-masing. Kuih paling 'legend' sudah tentulah kuih raya kegemaran satu Malaya iaitu Kuih Tart. Paling menangis buat kuih 'favourite' ini sebab 'Mak' cuma buat dan jual Tart Gulung sahaja. Umi dan adik-adik tolong 'Mak' buat Tart Gulung bukan untuk dimakan tetapi untuk memenuhi tempahan. Tukang ambil tempahan dan buat promosi adalah ayah. Ayah akan promosi kuih raya 'Mak' kepada rakan-rakan di sekolahnya. Ada kalanya Umi pun tolong promosi pada cikgu-cikgu di sekolah juga. Sedap sangat ke kuih 'Mak' ini? Serius Umi tidak tipu, memang susah jumpa kuih raya sebiji 'Mak' buat. Inti nenasnya memang 'Mak' buat sendiri. Nenas ambil daripada kebun ayah yang dipajakkan jadi memang 'fresh' sangat. Jem nenas pula buatnya ambil masa lama sebab perlu tunggu airnya kering betul, barulah rasa jem dan manisnya itu asli. Dohnya pula 'Mak' uli menggunakan bahan-bahan yang segar sahaja. Istimewanya Tart Gulung 'Mak' sebab ia menggunakan 100% 'butter' tanpa dicampur mentega. Oleh itu, dohnya nanti memang lembut dan gebu sahaja bila dimakan.
'Mak' pandai sebab minta tolong anak-anaknya dengan memberi sedikit habuan dan kami panggil 'duit raya Mak'. Seronok sangat bila dapat duit raya daripada 'Mak' sebab ia adalah hasil titik peluh kami sendiri. Duit raya ini lazimnya akan dikumpul dan disimpan ke dalam bank atau pun digunakan untuk membeli barang yang kami hajati sahaja. Budak-budak lagi masa itu, jadi duit raya sahaja yang tahunya.
Selain kuih Tart Gulung, ada juga yang menempah kuih Karipap Kecil dan Batang Buruk. Serunding bagi Karipap Kecil pun 'Mak' buat sendiri mengikut citarasanya. Manakala tepung yang menyaluti kuih Batang Buruk juga 'Mak' hasilkan sendiri mengikut resipinya. Selalunya 'Mak' akan minta pendapat Umi tentang rasa jem nenas, serunding dan tepung batang buruk tadi. Tempahan setiap kali menjelang Hari Raya memang banyak tetapi 'Mak' akan penuhi setiap tempahan yang diperolehi. Harga pada ketika itu boleh dikatakan masih murah lagi. Jika dibandingkan dengan sekaranag, memang jauh beza.
Batang Buruk
Sekarang 'Mak' sudah bersara daripada membuat kuih raya kerana tiada siapa hendak menolongnya. Bila tiba Hari Raya, rindu juga hendak makan kuih Tart Gulung 'Mak'. Sekiranya berkesempatan, Umi memang akan balik awal sebelum Hari Raya dan mengajak adik-adik serta 'Mak' membuat kuih kegemaran kami ini. Setiap kali berkunjung ke rumah orang semasa Hari Raya juga, Umi akan mencari-cari kuih Tart. Malangnya belum ada yang serupa rasanya seperti yang 'Mak' buat. Bila ditanya tentang resipinya, 'Mak' mesti cakap sukatannya ikut rasa dia. Umi tepuk dahi lagi jadinya. Sayangnya kalau tidak diwarisikan.
Apa yang tinggal kini hanyalah memori membuat kuih raya beramai-ramai. Sekarang, susah sangat untuk mengulanginya. Jadi Umi nasihatkan kepada semua pembaca agar menghargai setiap saat bersama keluarga. Tanpa mereka siapalah kita kan. Semoga bertemu di lain entri. Bye!
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment