Assalamualaikum W.B.T
Bertemu kembali. Rindu menulis bertandang lagi. Umi doakan semua yang membaca blog Umi sentiasa di bawah peliharaan Allah Yang Maha Esa...in syaa Allah.
Apa agaknya yang Umi ingin kongsikan kali ini? Kalau tengok tajuk entri kali ini, mungkin ada yang sudah boleh menduga. Entri kali ini, Umi hendak berkongsi kisah tentang kuih-muih hasil air tangan 'Mak'. Istimewanya ia bukan kuih-muih biasa.
Pelbagai kuih-muih tradisional Melayu
Sejak Umi di bangku sekolah, memang telah menjadi kebiasaan melihat 'Mak' membuat kuih-muih dalam kuantiti yang banyak. Dahulunya, 'Mak' menguruskan sebuah kantin di sekolah tempat ayah bertugas. 'Mak' seorang suri rumah biasa namun air tangannya dalam masakan sering digemari orang. 'Mak' juga suka memasak dan lazimnya dalam kuantiti yang banyak. Umi pada mulanya pelik juga untuk apa masak banyak-banyak tetapi masih Umi ingat kata-kata 'Mak'..'Tidak rugi masak banyak-banyak, nanti boleh bagi pada jiran-jiran'. Itulah 'Mak' suka sangat berkongsi rezeki. Pada mulanya 'Mak' hanya tahu membuat beberapa jenis kuih sahaja. Berkat usaha dan tidak malu bertanya, 'Mak' akhirnya dapat menguasai pembuatan pelbagai jenis kuih tradisional Melayu. Resipi-resipi yang 'Mak' dapat daripada orang-orang lama akan dicuba beberapa kali dan 'Mak' juga akan mengolah resipi mengikut citarasanya. Antara kuih yang menjadi rebutan adalah kuih Puteri Ayu, Seri Muka, Karipap, Karipap Pusing, Donut, Donut Sambal, Cucur Udang, Kuih Lapis dan pelbagai lagi. Kuih-muih buatan 'Mak' sering memenuhi citarasa pelanggannya bahkan saiz kuih-muih yang besar turut menarik minat pelanggan. Itulah 'Mak', sentiasa bersedekah dalam perniagaannya.
Puteri Ayu
Kasuwi
Menginjak usia 11 tahun, Umi dan keluarga telah berpindah ke Rengit, Batu Pahat kerana ayah bertukar tempat bertugas. 'Mak' meneruskan minat berniaganya dengan membuka gerai menjual kuih-muih dan masakan lain di hadapan taman perumahan tempat kami sekeluarga tinggal. Pada masa itu Umi dan adik-adik sudah boleh berdikari jadi tugas 'Mak' menguruskan kami semakin ringan. Seusai pulang dari sekolah agama, kami adik-beradik lazimnya akan segera menolong 'Mak' membuat persiapan untuk berniaga pada keesokan paginya. 'Mak' akan minta tolong kami sediakan acuan kuih, potong daun pisang, memerah santan, parut kelapa dan macam-macam lagi. Penat memang penat tetapi kami adik-beradik suka. Semasa membuat kuih inilah kami akan bergaduh atau bergurau-senda menjadikan masa membantu 'Mak' membuat kuih memori yang indah.
Seri Muka
Setiap hari 'Mak' akan bangun seawal 3.00 atau 4.00 pagi. Lazimnya sebahagian kuih-muih telah siap dimasak pada malam hari sebelumnya. Justeru, awal pagi 'Mak' tinggal 'finishing' sahaja kuih-muih tersebut. Manakala makanan lain seperti nasi lemak, mi goreng, bihun goreng dan sebagainya akan dimasak pada pagi tersebut. Seawal jam 6.30 pagi, adik kedua akan mula membuka gerai. Kadang-kala Umi pun turut membantu melayan pelanggan yang hadir awal. Terkocoh-kocoh juga sebab gerai belum siap dipasang, pelanggan sudah tiba.
Begitulah rutin kami adik-beradik pada zaman 'Mak' mengerah tenaganya untuk berniaga. Kini, kuih-muih 'Mak' tetap diburu. Adakalanya tempahan khas membawa rezeki, 'Mak' turutkan juga. Bukan 'Mak' tidak mahu buat kuih lagi tetapi sudah tiada tangan hendak membantu, Umi dan anak-anak lain masing-masing jauh dengan kehidupan sendiri.
Umi doakan semoga 'Mak' diberi kesihatan yang baik olehNya agar dapat terus berbakti kepada keluarga. Sungguh, ada kalanya rindu hendak makan kuih air tangan 'Mak'. Bila balik ke kampung sekali-sekala in syaa Allah 'Mak' sudah siap buatkan kuih yang diidam tadi. Umi musykil juga dengan resipi kuih-muih 'Mak'. Ajaibnya kuih-muih 'Mak' tiada sukatan dalam resipinya. Bila ditanya, 'Mak' kata pandai-pandai sukat! Tepuk dahi Umi dibuatnya.
Semoga bertemu.
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
Selamat berkenalan sahabat buku rezeki luar biasa
ReplyDelete