Assalamualaikum.
Anak-anak anugerah dunia akhirat. Ada kala gelagat mereka mengukir senyum di bibir, tidak kurang juga yang menaikkan darah sehinggalah yang membuat kita sakit kepala dibuatnya. Melayan kerenah anak-anak sungguh menguji kesabaran Umi. Pasti semua ibu bapa rasa benda yang sama kan?
Seperti biasa, hujung minggu dihabiskan bersama anak-anak. Waktu yang ada di sisi dengan melakukan kerja-kerja rumah. Manakala anak-anak pula sibuk bermain atau melakukan aktiviti masing-masing sambil dipantau. Sabtu yang lalu, Umi terlalu letih rasanya. Seharian terdampar di atas tilam yang empuk, seperti mahu tidur seharian! Anak-anak leka bermain, lega Umi. Dapatlah lelap mata seketika dengan si kecil Maryam.
Selepas beberapa jam.
'Umi..umi..bangunlah..bangunlah Umi..' suara Raudhah memanggil sambil ditepuk-tepuknya kaki Umi, mengejut Umi lah tu!
Umi pula masih bermalas-malasan. Berat betul biji mata rasanya. Puasa katakan. Teringatkan belum solat Zuhor lagi, Umi bingkas bangun. Duduk di bucu katil..zzzaaasss! Mata tertangkap sesuatu.
'Siapa yang buat macam ni?' suara lantang tetapi ditahan sedikit. Seorang demi seorang mata ditenung. Sepi!
'Kita yang buat,' Kak Ha mengaku tanpa rasa bersalah. Adik-adik yang lain terpamer wajah lega dengan pengakuan kakak.
'Kenapa kakak buat stokin adik macam ni?' soal Umi lagi pada si kakak yang sulung. Sabar cuba dipasak jauh di sudut hati.
'Kita nak cuba buat macam yang tengok kat DIY tu. Dalam Youtube tu, kena gunting bawah stokin tu. Jadikan Umi?!' ulas Kak Ha panjang lebar.
Hmmmmm. Umi ketap bibir sahaja bila tengok Kak ha tersengih-sengih. Memanglah jadi baju si Barbie. Untung si Barbie sudah siap baju raya!
Begitulah saban hari melayan ragam anak-anak yang sedang membesar. Di rumah memang tiada televisyen sebab telah rosak. Sengaja tidak dibetulkan. Hendak beli yang baharu duit lagi. Jadi, reda sahaja apabila anak-anak berkreativiti.
Umi tidak menyekat anak-anak melihat handphone tetapi Umi menghadkan penggunaannya. Lazimnya, anak-anak akan Umi beri reward berupa menonton filem di laptop atau rancangan kartun di Youtube setelah mereka menyudahkan sesuatu tugasan. Bateri telefon juga sengaja Umi tinggalkan sekitar 20% agar penggunaannya tidak terlalu lama. Sebelum anak-anak mendapat ganjaran ini, perjanjian telah termeterai terlebih dahulu. Justeru, apabila diminta mereka tiada alasan untuk tidak memulangkan gajet ini.
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment