Tuesday, May 8, 2018

Siapa Shuhadah Sulaiman

Assalamualaikum W.B.T 

Pembaca yang saya hormati sekalian, semoga kita sentiasa dikurniakan nikmat, rahmat dan berkat oleh DIA hendaknya. In syaa Allah, dengan kasih sayang Allah S.W.T hari ini akan menjadi lebih baik dengan pertolonganNya. Aminnn.



Buat makluman semua pembaca yang saya kasihi, ini merupakan blog terkini yang saya bangunkan di bawah bimbingan Cikgu Ayu. Sebenarnya saya sudah lama tidak menulis blog. Pernah suatu ketika, saya aktif juga dalam menulis blog. Hampir semua kisah ingin dikongsikan di blog. Masa beredar terlalu pantas. Tanpa sedar, minat menulis blog sudah lama saya abaikan. Kini, saya cuba bangkit! Semuanya seperti setelah diatur cantik oleh DIA. Ingin tahu apa yang terjadi kepada saya sebenarnya?? In syaa Allah akan saya kongsikan dari semasa ke semasa dalam entri akan datang.

Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri. Sekurang-kurangnya anda yang membaca tidaklah tergaru-garu kepala...siapa dia Shuhadah Sulaiman?? Nama penuh diberi Nor Shuhadah binti Sulaiman. Boleh panggil Pn. Shuhadah atau lebih mesra disapa 'Adah' di kalangan saudara dan rakan-rakan. Pendidikan tertinggi setakat ini adalah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia) daripada UiTM. Bercita-cita ingin menyambung pengajian tetapi belum berkesempatan lagi. Kini bertugas di Majlis Amanah Rakyat sebagai seorang pensyarah di salah sebuah institusi kemahiran di selatan tanah air. Di samping itu saya juga menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan isteri kepada keluarga tercinta.

Secara amnya, saya seorang yang tidak boleh duduk diam kecuali semasa 'tidur'. Pendek kata ada sahaja projek, plan atau aktiviti yang perlu atau ingin saya lakukan. Susahnya jadi 'saya'?! Saya telah dilatih sejak kecil, jadi kesibukan itu umpama mainan saya dan adik-adik semasa kanak-kanak. Saya merupakan anak sulung dalam keluarga, justeru tanggungjawab berat terpikul di bahu agar menjadi contoh kepada adik-adik. Masih segar dalam ingatan bagaimana kami adik-beradik sibuk membuat kuih, membantu emak pada masa itu yang menjual kuih raya. Asbab itu, dunia bisnes memang tidak dapat dipisahkan. Walaupun memiliki kerjaya yang kukuh, itu bukan alasan untuk saya tidak berniaga. Saya suka berniaga walaupun secara kecil-kecilan, suatu kepuasan apabila ada orang 'order' dan saya bungkuskan serta poskan barang yang ditempah. Mendapat testimoni yang menggembirakan hati pelanggan sudah cukup untuk mengukir senyuman saya. Untung? Adalah sikit untuk belanja anak-anak lazimnya. Kini, saya menjual suplemen Shaklee dan balm ajaib Tasneem Natural sahaja. Saya pernah menjadi 'dropshipper' tudung dan shawl tetapi terkandas kerana ditipu. Ia suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan! 

Mantan Bos saya selalu ingatkan, orang perempuan walau sesibuk mana pun dia..mesti kena cari ruang atau masa untuk buat hobi atau apa yang dia suka. Suami perlu faham! Itu antara nasihat yang kerap beliau pesan kepada staf-staf wanitanya termasuk saya. Pada mulanya saya kurang hadam apa maksud kata-kata beliau. Nah! Sekarang, selepas beliau berpindah baharu saya sedar akan maksud tersirat di sebalik nasihat itu. Terima kasih, Bos! Saya mula curi masa untuk diri sendiri. Saya kembali menulis, berkarya, membuat kraf, menjahit dan pelbagai lagi. Terbaharu, saya berjaya menempatkan diri bersama 22 orang penulis lain dalam penghasilan dan penerbitan buku motivasi 50 Kisah Rezeki Luar Biasa Suri Rumah. In syaa Allah akan dilancarkan pada 12 Mei 2018. Justeru, kini saya dan rakan-rakan penulis lain giat mempromosi dan membuat tawaran Pre-Order bagi buku istimewa tersebut. Saya akan kongsikan lanjut mengenai buku pertama saya ini di entri yang akan datang.



Selain menulis, saya gemar membuat kraf felt dan menjahit. Lazimnya, kraf felt yang saya buat adalah khas untuk aktiviti-aktiviti anak-anak di sekolah seperti hadiah sambutan hari jadi, jualan sempena Hari Usahawan Kecil dan cenderamata. Bagi masa terdekat, saya sedang menghasilkan kerongsang untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan di sekolah anak-anak saya sempena sambutan Hari Jadi, Hari Ibu dan Hari Guru. Aktiviti menjahit pula saya hadkan untuk menjahit pakaian anak-anak sahaja. Ilmu menjahit saya masih cetek. Lagi pula ruang menjahit saya sedang dalam proses naik taraf. Mungkin saya akan kongsikan kisah ini dan hasil deko ruang menjahit saya kelak.

Membaca juga adalah perkara yang menyenangkan saya. Buku-buku bergenre motivasi, masakan, kesihatan, tips dekorasi serta landskap adalah bahan-bahan yang menarik minat saya. Selain buku, saya juga meluaskan pembacaan menerusi blog, laman web, jurnal dan majalah. Pendek kata, apa sahaja yang boleh menarik minat saya akan saya baca. Selain itu, saya suka sangat melakukan aktiviti lasak serta melancong. Semasa zaman muda remaja dahulu, saya memang aktif mengikuti aktiviti-aktiviti lasak anjuran sekolah mahu pun universiti. Sejak berkeluarga, saya terpaksa fikir beberapa kali sebelum meneruskan niat. Maklumlah, aktiviti lasak banyak risiko. Sekiranya 'sesuatu' terjadi kepada saya, anak-anak saya bagaimana? Jadi, untuk tidak mengecewakan hati saya mula beralih arah kepada minat melancong. Melancong dalam negara dahulu, kalau ada rezeki bolehlah panjangkan sikit langkah ke negara-negara jiran pula..in syaa Allah. 

Tanggal 27 April 2018, saya dengan beraninya mendaftarkan diri di Akademi Blog Dari Rumah (ABDR). Jujurnya saya sudah lama dengar tentang akademi ini, lebih kurang 4 tahun yang lalu. Hati terdetik juga untuk menyertai tetapi pelbagai halangan pada masa itu. Mungkin belum tiba rezeki saya. Namun, Allah temukan saya dengan para alumni ABDR baru-baru ini melalui sebuah buku, 'kami' panggil ia buku #rezekiAjaib. Semuanya bukan calang-calang, kebanyakannya suri rumah yang ber'kerjaya' !! Sungguh saya kagum seketika. Maka, terjerumuslah saya di ABDR sekarang ini. Semoga ilmu yang dituntut daripada ABDR dapat saya terjemahkan dalam blog jurnal kehidupan saya.




Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman


No comments:

Post a Comment