Assalamualaikum W.B.T
Entri ini adalah sambungan kisah kelahiran Maryam yang lalu.
Alhamdulillah, Maryam lahir tepat selepas azan subuh pada hening pagi Jumaat, 9 Jun 2017 bersamaan14 Ramadan 1438H. Masih ingat lagi, sekarang ini setahun yang lalu Umi sedang keluh-kesah dan sarat sangat menunggu hari. In syaa Allah 9 Jun 2018 yang beberapa hari sahaja, genaplah Maryam 1 tahun. Sekejap benar masa berlalu. Namun, setiap detik kelahiran si kecil Maryam masih segar di ingatan dan baunya masih harum terasa.
Sebaik dilahirkan ke dunia, segera doktor meletakkan anak ini ke dada Umi. Wah, gebunya!!! Terdengar suara jururawat sesama mereka menyatakan keterujaan dan rasa kagum dengan bayi yang sihat itu. Syukur, Maryam lahir cukup sempurna dan sifatnya dengan berat 4.60kg! Semangat betul anak Umi yang ini. Ketika itu, dalam hati sudah menjangka confirm banyak kena jahit. Ketap bibir, reda sahaja. Sudah bersedia minta ubat bius!
'Tak perlu jahit. Cuma bengkak sahaja,' kata-kata keramat doktor menyebabkan Umi mengucapkan syukur banyak kali.
'Alhamdulillah ibu, tak kena jahit. Pandai awak teran, baby nya besar ni,' sambung jururawat di sisi pula.
Sungguh saat itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya Umi sebab tidak kena jahit! Beberapa kali juga Umi tanyakan betul ke tidak perlu jahit untuk mendapatkan kepastian. Syukur alhamdulillah berkali-kali. Namun, Maryam tidak lama di dada Umi. Umi pun tidak sempat hendak menyusukan dia, lemah badan rasanya. maryam terpaksa dibawa ke NICU segera kerana dia mengalami hypoglisemia iaitu kekurangan gula dalam darah. Allahuakbar! Masa itu sedih sangat sebab sudah perlu berpisah dengan si kecil. Umi dimaklumkan, dia perlu ditahan bagi menstabilkan paras gulanya ke tahap normal. Umi pula tidak dapat menemani Maryam kerana masalah kekejangan di peha membataskan pergerakan. Suatu keputusan yang sukar tetapi Umi perlu rawat diri sendiri dahulu. Hanya berserah kepada Allah untuk menjaga Maryam semasa dia di bawah pengawasan doktor.
Umi telah dibenarkan pulang pada hari yang sama. Lega dapat balik rumah cepat. Tetapi hati tetap tidak keruan memikirkan si kecil yang masih di hospital. Umi segera mendapatkan khidmat mengurut Kak Wati, seorang bidan profesional. Genap 3 hari berurut dengan beliau, pergerakan Umi semakin pulih. Syukur teramat sangat. Jika tidak hendak menggerakkan ibu jari kaki pun tidak larat. Tanpa sedar Maryam tinggal di hospital 3 hari 2 malam, baharulah keadaannya normal. Umi dimaklumkan keadaan tersebut adalah biasa bagi bayi yang dilahirkan besar dna ia bersifat sementara. Sekali lagi Umi bersyukur tidak sudah-sudah sebab anak Umi baik-baik sahaja.
Akhirnya Maryam dapat dibawa pulang ke rumah. Kesihatan Umi juga semakin bertambah baik dari sehari ke sehari. Proses berpantang berjalan dengan lancar walaupun di bulan Ramadan dan Syawal. Pertama kali berpantang di bulan Syawal, Allah sahaja yang tahu dugaannya!
Setakat ini dahulu. In syaa Allah Umi akan kongsikan pengalaman melahirkan anak-anak yang lain pula. Semoga Maryam membesar dengan sihat dan menjadi seorang anak yang solehah di dunia dan akhirat. Amin.
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment