Assalamualaikum W.B.T
Dua minggu yang lalu Kak Ha telah dijangkiti penyakit ini. Entah dari mana dia berjangkit agaknya. Pertama kali berhadapan situasi ini, Umi buntu. Namun, memandangkan Kak Ha tidak renyah untuk dijaga, maka rawatan chicken pox dia hanya yang asas sahaja. Cukup sekadar mengambil ubat antiviral, ubat sapu dan pantang makan sahaja. Lebih kurang 10 hari, penyakit ini mula reda dan kering. Lega Umi sebentar.
Namun, panas yang disangka tidak berpanjangan. Seminggu selepas Kak Ha sembuh Maryam mula ditumbuhi bintik-bintik merah. Manakala Safiya pula sudah mula demam. Selang dua hari Raudhah pula mula menunjukkan ciri-ciri yang sama. Melihatkan simptom yang sama, sah mereka dijangkiti juga! Buat sementara waktu, Umi sapu dahulu ubat Kak Ha yang masih berbaki.
Selepas bertemu doktor, hanya Safiya dan Raudhah sahaja yang diberi ubat antiviral bagi mengawal penyakit ini. Manakala Maryam terpaksa berhadapan dengan penyakit ini hingga ke akhirnya kerana usianya yang belum sesuai untuk mengambil ubat tersebut. Allahuakbar! Kasihan Maryam.
Penjagaan buat Safiya dan Raudhah tidak begitu rumit, sama seperti Kak Ha. Kurang perhatian yang perlu diberikan. Namun, penjagaan rapi perlu diberikan kepada Maryam. Dalam tempoh 4 hari, seluruh tubuh mungil Maryam dipenuhi bintik-bintik merah yang jahat itu. Sakit benar mata Umi melihatnya. Maryam menjadi semakin sensitif dan hendak berkepit sahaja. Bagi membantu mengurangkan ketidakselasaan anak kecil ini, Umi google dan cari pelbagai cara yang boleh digunakan.
Umi senaraikan di sini kaedah yang Umi gunakan:
1)Mandi menggunakan sabun pokok semambu. Sabun ini boleh dibeli di farmasi sahaja. In syaa Allah ia dapat membantu mengurangkan rasa miang keruping tersebut. Harga sebuku RM7.50 sahaja.
2)Sapu ubat Calamine atau kisaran daun pokok semambu. Losyen Calamine yang sejuk membuatkan kulit badan rasa nyaman di samping dapat membunuh virus chicken pox. Ia juga dikatakan mampu mengawal virus daripada terus merebak. Manakala kisaran daun pokok semambu dapat mengurangkan rasa gatal dan menjadikan keruping cepat kering dan sembuh. Losyen Calamine boleh didapati daripada klinik mahu pun farmasi. Sementara itu, Umi perlu rajinkan diri untuk memproses daun pokok semambu bagi dijadikan masker pula.
3)Berikan ubat gatal yang diberi oleh doktor mengikut jadual. Ini sangat membantu anak kecil seperti Maryam.
4)Umi juga ikhtiarkan menyapu pati minyak EO Thieves yang telah dilarutkan. Minyak ini Umi sapu di bahagian tapak kaki setiap kali selepas mandi dan sebelum tidur. Selain itu, Umi gunakan minyak EO Lavender bersama ultrasonic air diffuser setiap malam sebelum tidur. Kaedah ini sangat membantu Maryam untuk tidur lena. Oh ya! Jika berminat untuk dapatkan pelbagai jenis minyak EO jenama Young Living jangan segan hubungi Umi ye.
5)Mandi dengan kerap. Umi akan mandikan Maryam sekerap mungkin dan sapu semula losyen Calamine setiap kali selepas mandi.
6)Pantang makanan yang gatal. Ya, bagi memastikan anak-anak kurang menggaru Umi pastikan mereka elak makanan yang boleh merangsang rasa gatal seperti telur dan makanan laut terutamanya. Memandangkan Maryam masih menyusu badan lagi, Umi pun kena pantang sama!
7)Selain itu, anak-anak juga Umi tidak pakaikan baju atau seluar di rumah. Cukup sekadar memakai seluar kecil atau lampin pakai buang sahaja. Ini bagi memastikan badan mereka kurang berpeluh dan tidak panas.
Nampaknya itu sahaja perkongsian Umi secara alami bagi merawat penyakit yang menggerunkan ibu bapa semua. Merawat parut yang ditinggalkan? Umi akan ikhtiarkan nanti kisahnya di sini. Sekarang, Umi perlu merawat anak-anak dahulu yang masing-masing menagih perhatian luar biasa. Jumpa lagi in syaa Allah.
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment