Sunday, June 3, 2018

Memori Kelahiran Dzulaiha


Assalamualaikum w.b.t 

Dalam entri kali ini, Umi mencatatkan pengalaman saat getirnya melahirkan si comel yang sulung Dzulaiha. Semoga dapat menjadi panduan kepada mereka yang bakal bergelar seorang 'IBU'. 

Tanggal Rabu, 8 Disember 2010 jam 3 pagi segalanya bermula. Rasa tidak selesa dan perasaan gusar saat itu cuba dibendung. Walaupun rasa sakit, Umi tahu masa sebenar belum tiba (berdasarkan pembacaan Umi di internet dan buku-buku). Umi terus berjaga sehingga pagi kerana tidak boleh lelap mata dengan perut yang seakan-akan memulas.  Subuh menjelma. Seperti biasa Umi bersiap-siap untuk pergi kerja tetapi hati rasa kurang enak. Diluahkan rasa itu pada encik suami...cemaslah dia dan mulalah dia membebel.

"Kenapa tak kejut saya pagi-pagi tadi? Ni kan kecemasan!"..."Kita balik kampung!"..."Awak boleh tahan sakit lagi tak?"..."Macam mana ni, nak balik kampung ke singgah klinik check dulu?" - itulah antara kata-kata yang masih Umi ingat saat Umi sendiri pun bingung tetapi terima kasih sebab kerisauannya memberi semangat untuk Umi terus bertahan. Pagi itu kami bergegas pulang ke kampung. Sepatutnya hari itu Umi kena pergi klinik untuk menjalani pemeriksaan mingguan. Memandangkan ini pengalaman pertama, kami berhenti dulu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk pemeriksaan. Malangnya kena tahan wad pula, cancel balik kampung! 

1st time duduk wad, 2nd class - 1 bilik 4 orang..not bad. Ada seorang patient depan katil Umi, baru lepas bersalin anak lelaki. Cute sangat! Malangnya kena vakum, kasihan. Aku hanya berdoa semoga proses kelahiranku berjalan lancar semuanya.  Waktu melawat tengah hari, keluarga dan mertuaku datang melawat. Kebetulan semasa lawatan adalah masa untuk pemeriksaan. Maka, aku pun diperiksalah oleh pelejar-pelajar yang sedang buat praktikal. Cari contraction Umi tidak jumpa-jumpa! Umi pula yang beritahu bila masa adanya contraction. Time ini masih boleh senyum dan gelak lagi walaupun kadang-kadang rasa sakit datang. Tamat waktu melawat, Umi tinggal seorang lagi, bosannya. Tiba-tiba sakit makin kuat diiringi lelehan darah. Umi bertahan lagi dan cuba untuk tidak panik. Macam-macam gaya Umi buat semua serba tidak kena. Sekeja duduk, kemudian berjalan, baring pula tetapi sakit yang mendatang makin keras dan makin kerap. Lebih kurang waktu minum petang, Umi mengadu pada seorang jururawat tapi katanya nanti doktor datang periksa jam 7 petang. Lamanya!!!  Jam 4.30 petang, encik suami dan mertua datang melawat lagi. Alangkah bagusnya jika hospital kerajaan benarkan para suami temankan isteri mereka. Apakan daya, Umi kena harungi saat itu seorang diri dan perlu bertabah. Masa bergerak sangat lambat bagi Umi. Rasanya sudah tidak boleh tahan sakit yang datang tetapi doktor masih belum tiba juga walaupun jam sudah 7.30 malam.Sekitar 8.00 malam, doktor-doktor tiba. Hairan betul sebab semuanya menumpu pada seorang pesakit sahaja disebabkan pesakit tersebut sakit sangat-sangat dari masuk wad awal pagi tadi tetapi bukaan pintu rahimnya baru 1.5cm sahaja. Tiada siapa hiraukan Umi. Mana boleh jadi! Umi pun sakit juga! Akhirnya Umi panggil doktor pakar seorang ini dan menceritakan kesakitan yang ditanggung serta apa yang berlaku sejak petang tadi. Apalagi, kena marahlah doktor-doktor dan jururawat yang ada di situ sebab tidak melihat keadaan Umi. Bila diperiksa rupa-rupanya bukaan sudah 9cm!!! Bayangkan jika Umi masih tidak dilayan, mahu terbersalin di wad malam itu. Jam 8.45 malam, Umi diusung segera ke bilik bersalin. Umi hanya sempat sms encik suami sahaja memberitahu Umi sudah dibawa ke bilik bersalin. 

Umi suka  bilik bersalin di hospital ini sebab ianya khas untuk setiap seorang pesakit pada satu-satu masa. Adik jururawat yang praktikal tegur, cakap Umi nampak cool tidak macam orang hendak bersalin. Kembanglah juga tetapi tuhan sahaja yang tahu kesakitannya. Sampai di bilik bersalin, bukaan sudah cukup 10cm dan semua prosedur untuk menyambut kelahiran bayi Umi telah disediakan. Syukur sangat sebab pada malam itu tidak ramai yang bersalin jadi suasana tidaklah bingit sangat. 

Tepat 10.30 malam, Umi rasa sudah bersedia untuk melahirkan bayi pertama ini. Semua kakitangan hospital memberikan kerjasama dan semangat bagi memudahkan proses kelahiran. Alhamdulillah, dengan segala kudrat dan izinNya Umi selamat melahirkan seorang bayi perempuan tepat 10.45 malam (Khamis malam Jumaat). Saat menatapi buat pertama kalinya puteri comel itu sangat membahagiakan. Hilang sekejap rasa sakit. Selepas mendukungnya seketika, bayi dibawa keluar untuk diperiksa secara keseluruhannya. Sementara itu, Umi menjalani prosedur yang seterusnya. Malangnya, hampir 2 jam Umi berada dalam bilik bersalin disebabkan pendarahan yang tidak berhenti. Umi hanya berdoa semoga dipermudahkan urusan. Alhamdulillah, jam 1.00 pagi barulah Umi dibenarkan kembali ke wad. Namun, Umi tidak boleh tidur pun sebab si kecil kadang-kala merengek-rengek dan Umi pun tidak tahu apa yang dia inginkan.  

Alhamdulillah, keesokan harinya pendarahan berkurang tetapi badan masih lemah. Tidak sabar rasanya untuk pulang segera ke rumah. Selepas menjalani pelbagai prosedur, petang itu Umi dibenarkan pulang kerana Umi tidak mengalami sebarang komplikasi. Syukur. Begitulah serba sedikit detik-detik hampir 18 jam penantian untuk melahirkan bayi pertama. Semoga kisah ini dapat dijadikan panduan dan perkongsian bersama. 

                 Image result for memori kelahiran dzulaiha
Nama: Nurnajmi Dzulaiha bt Zulkarnain Berat: 3.4kg Masa: 10.45 malam (Khamis malam Jumaat) 





Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman

No comments:

Post a Comment