Assalamualaikum.
Tiada kata mampu Umi ungkapkan tatkala melihat foto yang dikongsikan seorang rakan penulis lain. Ya, ia testimoni daripada seorang pembeli. Baiknya hati seorang adik, mengirimkan sebuah hadiah penuh makna buat kakaknya yang jauh di sana. Kebetulan si kakak sedang mengerjakan umrah di Tanah Haram. Tanpa diduga buku ini..kisah yang Umi tulis hanya dua kisah sahaja telah mendarat di bumi suci. Selalunya berangan-angan sahaja hendak ke sana, tidak sangka Allah makbulkan dalam cara yang berbeza. Dakwah kecil di tanah suci, besar maknanya buat Umi. Semoga suatu hari nanti Allah izinkan Umi sendiri menjejak kaki ke sini. Amin.
Lazimnya, sambil memandu pulang ke rumah setiap petang Umi akan melayani radio IKIM bagi memenuhi kehendak halwa telinga. Paling gemar mengikuti slot perkongsian pengalaman para mualaf memeluk Islam. Antara intipati daripada setiap kisah, hanya satu perkara yang ditekankan iaitu kita sebagai penganut agama Islam perlu berdakwah kepada dunia sebab ramai di luar sana yang tidak tahu pun apa itu Islam. Justeru, terdetik di hati bagaimana agaknya cara Umi hendak berdakwah? Umi bukan ustazah, apa lagi mahu beri ceramah sedangkan diri sendiri pun pasaknya belum tegap.
Percaturan yang cantik sekali, Allah jawab pertanyaan itu dengan penuh hikmah. Tidak pernah terlintas hasil tulisan yang diharap dapat menjadi dakwah kecil ini mampu pergi sejauh ini. Tidak terjangkau dek akal yang waras. Mustahil bagi kita tetapi tidak bagi Allah. Terima kasih Ya Allah sebab melibatkan Umi dalam dakwah Islam cara ini. Semoga ia menjadi saham akhirat buat Umi dan para penulis bersama.
Buat para pembaca yang telah memiliki buku ini, terima kasih sebab sudi menyahut dakwah kami 'mak-mak moden yang tradisional'. Bawalah ia ke mana-mana, mungkin ada yang memerlukan kata-kata semangat nanti maka hulurkan ia. Mana tahu, itu boleh jadi salah satu dakwah juga.
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment