Assalamualaikum W.B.T
Kisah ini bermula sejak awal tahun 2017, sekitar Mac hingga April yang lalu. Semuanya terjadi setelah Umi menyedari ada suatu benjolan kecil betul-betul di bawah ari-ari sebelah kiri Raudhah. Ianya ketara apabila dia menangis dengan kuat atau batuk yang berterusan. Gara-gara sedang melatih Raudhah tidak memakai lampin pakai buang lagi dan dia pun sudah mula ke taska pada waktu itu, segalanya Allah takdirkan begitu.
Pada awalnya, Umi sendiri keliru. Apa bendanya itu? Mulalah otak ini fikir yang bukan-bukan. Mujur sebab setiap kali benjolan itu muncul, apabila ditekan atau ditolak ia akan 'masuk' kembali.
'Sakit tak Raudhah, Umi tekan-tekan ni?'
'Tak!'
Begitulah setiap kali apabila si benjol itu muncul. Umi bawa dan rujuk Raudhah ke klinik panel yang biasa kami sekeluarga pergi iaitu Klinik Utama yang diusahakan oleh Dr. Ramizi bersama isterinya Dr. Rohani. Hari itu, Dr. Ramizi yang bertugas. Apabila pemeriksaan dijalankan, doktor sahkan Raudhah memang ada hernia. Namun, disebabkan usianya ketika itu baru 2 tahun maka doktor menjangkakan ia akan pulih sendiri. Boleh ke angin pasang sembuh secara alami? Penjelasan doktor meredakan sedikit kegusaran hati Umi pada ketika itu. Namun, Umi tetap bertanya dengan cik Google. Memang sukar untuk mendapatkan maklumat tentang masalah ini kerana hernia lazimnya dialami oleh kanak-kanak lelaki. Info yang Umi perolehi terlalu asas dan lebih merujuk kepada permasalahan ini di kalangan lelaki sahaja.
Berkongsi kisah ini dengan orang sekeliling yang rapat, baharulah Umi tahu rupanya memang ada kanak-kanak perempuan yang berhadapan masalah ini namun bilangannya terlalu sedikit dan sangat jarang didengari. Mari baca sedikit lebih lanjut tentang hernia yang Umi dapatkan daripada laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.
Inguinal Hernia (Angin Pasang)
Pengenalan
Inguinal hernia, atau lebih dikenali sebagai 'angin pasang' dalam Bahasa Melayu, adalah sejenis keadaan di mana usus atau selaputnya (omentum) terjatuh masuk ke dalam sebuah kantung (pouch), dan kantung tersebut terjulur keluar melalui pembukaan otot dinding perut di bahagian ari-ari (groin).
Keadaan ini disebabkan oleh pembukaan pada otot dinding perut (abdomen) yang dalam kebanyakan masa bukaan ini akan tertutup secara semula jadi sewaktu bayi dilahirkan ataupun dalam tahun pertama kehidupan.
Ia berbeza dengan kejadian 'angin pasang' di kalangan orang dewasa di mana faktor utamanya disebabkan oleh kelemahan otot dinding perut yang berkaitan dengan peningkatan umur dan masalah-masalah kesihatan lain.
Inguinal hernia BUKAN disebabkan oleh gaya pemakanan seseorang ibu mengandung. Ia tidak dapat dikesan sewaktu bayi berada dalam kandungan.
Demografi dan Epidemiologi
Secara keseluruhannya, kadar masalah inguinal hernia di kalangan kanak-kanak adalah 3%.
Kebanyakannya melibatkan kanak-kanak lelaki (6-10 kali ganda berbanding dengan perempuan).
Inguinal hernia adalah sejenis keadaan yang berisiko tinggi, terutamanya di kalangan bayi-bayi di bawah umur 1 tahun. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi disebabkan oleh usus yang terperangkap di dalam kantung hernia (rujuk bahagian 'Komplikasi'). Kadar ini dijangka dalam lingkungan 30%.
Tanda-tanda
Inguinal hernia boleh melibatkan sebelah ataupun dua-dua belah ari-ari. Ia akan kelihatan seperti bonjolon di bawah kulit di bahagian ari-ari, atau boleh turun masuk ke dalam sarung telur budak-budak lelaki (Gambar 1).
Ia TIDAK disebabkan oleh aktiviti yang lasak atau anak meneran atau menangis, tetapi ia akan dilihat dengan lebih nyata dalam keadaan-keadaan tersebut.
Komplikasi
Sekiranya sebahagian daripada usus terperangkap di dalam kantung hernia (Incarceration), komplikasi utama yang boleh berlaku adalah usus tersumbat (intestinal obstruction). Dalam keadaan ini, najis dan gas tidak dapat keluar melalui jalan dubur seperti biasa, dan mengakibatkan pesakit mengalami kesakitan perut dan di ari-ari atau karung telur, perut kembung, muntah dan kesukaran membuang air besar (Gambar 2).
Sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan awal, usus yang terperangkap di dalam kantung hernia boleh terus tercedera sehinggakan bahagian tersebut mati (gangrene) akibat kesekatan saluran darah ke bahagian usus yang terperangkap.
Keadaan-keadaan yang diterangkan di atas memerlukan rawatan pembedahan secara cemas. Komplikasi lain yang boleh berlaku termasuk keadaan di mana tumbesaran telur bayi lelaki terbantut atau terjejas sama sekali disebabkan oleh inguinal hernia (Testicular atrophy). Ini boleh berlaku terutamanya kepada bayi-bayi pramatang atau sekiranya hernia dikaitkan dengan kedudukan telur yang tidak betul (Undescended testis) bagi bayi-bayi lelaki.
Rawatan
Tiada rawatan lain untuk masalah inguinal hernia selain daripada pembedahan. Pembedahan ini dikenali sebagai Herniotomy.
Ia adalah sejenis prosedur yang memerlukan bius am (general anaesthesia) dan sebaik-baiknya dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak. Pesakit perlu dipuasakan untuk beberapa jam sebelum pembedahan ini.
Dalam keadaan yang tidak melibatkan komplikasi, pembedahan Herniotomy biasanya dibuat sebagai prosedur unit rawatan harian (Daycare Surgery). Ini bermaksud pesakit tidak perlu tinggal di dalam wad untuk semalaman.
Herniotomy melibatkan torehan kecil (biasanya 2-3cm) di bahagian ari-ari yang bermasalah.
Seterusnya, kantung dijumpai di bawah lapisan otot, dan ia dipisahkan daripada saluran sperma dan saluran darah; sejurus itu, kantung dipotong dan diikat supaya ia tidak dapat membenarkan pergerakan usus atau selaput ke dalamnya lagi. Potongan kemudiannya dijahit dengan benang khas di bawah kulit dan akan hilang dengan sendiri dengan peredaran masa. Prosedur ini biasanya memakan masa 15-30 minit.
Selepas pembedahan ini, pesakit boleh diberi minum dan makan apabila dia sedar dengan sepenuhnya. Dia dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama. Ibu bapa akan diarah untuk mengeluarkan pembalut daripada luka 2 hari selepas pembedahan.
Sekiranya luka tidak begitu elok (iaitu merah atau bernanah), pesakit perlu dibawa balik berjumpa dengan doktornya. Biasanya, kanak-kanak yang lebih besar diberitahu untuk mengelakkan daripada aktiviti senaman yang lasak sekurang-kurangnya selama 1-2 bulan.
Rawatan Bayi Pramatang
Bayi yang dilahirkan pramatang atau tidak cukup bulan, mempunyai insiden yang tinggi untuk mendapat inguinal hernia (sehingga 30%). Seperti yang dinyatakan, bayi-bayi ini lebih berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi-komplikasi yang diterangkan. Oleh itu, pembedahan Herniotomy untuk kumpulan bayi ini biasa dilakukan sebelum bayi tersebut dibenarkan pulang dari Unit Rawatan Khas Bayi (Special Care Nursery, SCN) ketika berat bayi tersebut adalah diantara 1.6 - 1.8kg.
Semasa lawatan ke Klinik Kesihatan Desa bagi pemeriksaan 3 tahun,Umi telah memaklumkan masalah ini kepada jururawat yang bertugas. Umi diarahkan mendapatkan rawatan segera di Klinik Kesihatan Sungai Mati pula. Setelah beberapa kali perjumpaan, Raudha dirujuk pula ke bahagian SOPD di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Maka, sejak Januari 2018 yang lalu berulang-aliklah kami sekeluarga ke HPSF sehingga tarikh pembedahan ditetapkan pada 2 Jun 2018 bersamaan 17 Ramadan 1439H.
In syaa Allah Umi akan kongsikan detik-detik pembedahan dan selepas pembedahan dalam entri akan datang. Jumpa lagi!
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment