Assalamualaikum W.B.T
Sempena bulan Ramadan ini, Umi terpanggil untuk berkongsi pengalaman berpuasa dan melahirkan bayi di dalam bulan yang mulia ini. Ia merupakan pengalaman pertama dan sangat meninggalkna kesan kepada Umi. Anak-anak yang lain Umi tempuh pengalaman berpuasa sahaja tetapi kehadiran Maryam dalam bulan Ramadan sangat indah. Entri kali ini mungkin agak panjang.
Maryam anak ke-4 dari empat orang adik-beradik. Pengalaman mengandungkan anak bertuah ini memang berbeza sejak awal lagi. Empat bulan di trimester pertama, Umi mengalami alahan yang teruk. Pertama kali sebenarnya. Seharian rasa tdak selesa tetapi di mana dan apa yang tidak enak itu pun Umi tidak tahu. Cuma yang Umi hendak ketika itu hanyalah baring dan berehat sahaja. Waktu tidur malam adalah masa yang paling melegakan. Selera makan juga berkurang sehingga Umi turun berat badan 5kg! Memandangkan Umi masih perlu bekerja, rutinnya Umi akan selesaikan tugas awal pagi. Menginjak jam 12.00 tengah hari Umi akan berbaring sampai ke petang di dalam bilik di pejabat. Bukan tidur pun, hanya berbaring sahaja sampai tiba waktu pulang. Sesampainya di rumah, selesai mandi dan uruskan anak-anak apa yang patut Umi akan terus masuk tidur. Sekiranya terjaga di tengah malam, barulah Umi buat serba sedikit kerja rumah yang perlu. Sungguh setiap hari Umi tidak sabar menanti tamatnya trimester pertama.
Alhamdulillah, apabila kandungan mula masuk bulan ke-5 kesihatan Umi semakin baik dan selera makan pulih seperti biasa. Berat badan naik mendadak pula! Sejak mengandungkan anak ke-2, Umi memang dapat sticker HIJAU kerana bayi Umi semuanya lahir dengan berat 4kg ke atas. Melainkan Kak Ha, 3.8kg. Sihat belaka bayi Umi semuanya (^__^). Seperti biasa Umi memang kena minum air gula dua kali. Syukur sangat sebab keputusan darah bagi ujian air gula sentiasa normal. Masalahnya satu sahaja iaitu Hb yang rendah di bawah paras 10. Pelbagai makanan untuk tambah darah telah dicuba namun hasilnya suam-suam kuku sahaja. Umi ambil Iberet tetapi Umi alah pula, sakit perut setiap kali selepas telan pil ini. Jadi, doktor sarankan Umi makan sedikit sebelum ambil ubat ini. Alhamdulillah, serasi dengan teknik baru. Namun, Hb Umi tidaklah naik mencanak, sekadar berada di atar par. Umi kurang gemar pil yang berwarna coklat gelap itu sebab baunya yang busuk dan ia menyebabkan sembelit. Rasanya kebanyakan ibu yang mengandung memang tidak suka dengan pil yang satu ini.
Trimester kedua dan ketiga berjalan dengan lancar. Sebaik memasuki trimester ketiga, tumbesaran Maryam sangat luar biasa. Setiap kali apabila tiba jadual untuk scan, Maryam menunjukkan peningkatan yang cepat. Beratnya, panjang tulangnya, saiz kepalanya semuanya melebihi anggaran normal. Risau juga Umi jika ada yang tidak kena dengan bayi. Kepada Allah jua Umi panjatkan doa agar bayi dikandungkan sihat dan sempurna sifat akal fikirannya. Tiga minggu sebelum due date Umi disarankan untuk masuk wad atas alasan saiz bayi yang besar dan kedudukan kepala yang tidak tetap. Doktor pakar yang memeriksa Umi risau jika melahirkan awal. Umi akur jua. Maka, berhijrahlah Umi ke wad ibu mengandung dan bersalin di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Genap seminggu Umi minta izin untuk berehat di rumah sahaja. Kebetulan keadaan bayi dan kesihatan Umi baik sahaja sepanjang tempoh pantau maka doktor benarkan Umi pulang ke rumah. Lupa Umi maklumkan, semasa di wad itu baru sahaja mula bulan Ramadan jadi sepanjang di hospital Umi tidak berpuasa. Pada mulanya Umi cuba juga berpuasa, tetapi Umi perasan gerakan bayi akan berkurang sangat daripada biasa. Apabila diajukan kepada doktor, Umi dinasihatkan agar tidak berpuasa demi keselamatan bayi.
Pulang ke rumah merupakan satu nikmat yang sukar diungkapkan. Walaupun sarat, Umi gagahkan diri mengemas rumah. Risau hendak tinggalkan rumah dalam keadaan semak sebab tidak lama lagi sudah hendak menyambut Hari Raya pula. Lagi pula Umi tiada tanda hendak melahirkan, takut-takut bayi lahir lambat. Risaunya Allah sahaja yang tahu. Macam-macam difikirkan dalam kepala, banyak negatif dari positif tetapi Umi cuba positifkan diri juga. Setiap hari bercakap dengan perut sendiri, pujuk agar lahir dengan selamat bila tiba waktu.Orang cakap, sebagai ibu perlu rajin berbual-bual dengan anak yang dikandungkan.Umi sudah lama amalkan sejak anak pertama lagi. Alhamdulillah, ada connection di situ.
Tanggal 9 Jun 2017, awal pagi itu perut rasa memulas-mulas tetapi desakan contraction belum ada sangat. Umi pagi itu seperti biasa membuat rutin harian kerja rumah. Segera Umi siapkan beg bayi dan barangan keperluan lain jika memang sudah tiba waktu hendak melahirkan. Selesai mengemas semua, Umi bawa baring meredakan sakit yang tiba-tiba kuat. Terlelap pula! Bila hari menginjak tengah hari barulah terjaga. Aneh! Sakit tadi hilang. Sehinggalah tiba waktu berbuka, sakit yang sama berulang. Sempat Umi berpesan kepada suami agar pulang awal dari terawih dan sentiasa ON telefonnya. Sakit semakin kerap, Umi sudah boleh mula mengira tetapi sakitnya biasa-biasa sahaja. Sekali lagi Umi cuba bawa tidur. Berkalih ke kanan, ke kiri pula..ke kanan semula, semuanya rasa tidak selesa. Umi bangkit, terus mand. Jam 12.00 pagi ketika itu. Kebetulan suami belum tidur, Umi maklum hendak ke hospital sebab naluri berkata bayi sudah hendak lahir. Dalam kakalutan tersebut, boleh pula kunci kereta tertinggal di dalam bilik dan pintu bilik terkunci!!!
Umi bimbang tetapi cube bertenang. Sambil suami berusaha buka kunci pintu bilik tersebut, Umi isi perut dengan lauk berbaki semasa bebuka tadi. Syukur sangat-sangat, sebaik Umi selesai makan pintu tersebut berjaya dipecahkan.
Lebih kurang jam 2.30 pagi kami tiba di hospital. Oh ye! Lupa maklum bahawa anak-anak lain ditinggalkan di rumah nenek di kampung. Kebetulan hari Jumaat, suami pun cuti. Mujur Allah permudahkan semua. Setibannya di hospital bukaan sudah 5cm tetapi Umi rasa sakitnya biasa-biasa, kadang-kala tidak tahu yang 'sakit' itu adalah contraction.Selepas diperiksa oleh doktor bagi mematsikan tahap kesihatan bayi dan Umi sendiri sekali lagi perut yang memboyot discan. Pada skrin mesin Umi lihat berat anggaran bayi 4kg. Doktor minta Umi berbincang dengan suami untuk melahirkan normal atau melalui pembedahan. Sudah tentulah kelahiran biasa! Sekitar jam 4.30 pagi, Umi ditolak ke bilik bersalin. Selepas segala persediaan, doktor melakukan proses pecah air ketuban. Sakit contraction mula terasa kuat namun bukaan masih belum mencecah 10cm lagi jadi Umi tidak boleh meneran. Jam 5.10 pagi, Umi sudah rasa hendak melahirkan sangat dan bukaan pun sudah 10cm. Puas dicuba beberapa kali namun kepala bayi belum nampak lagi. Sakit contraction semakin tidak rasa. Jururawat di sebelah menenangkan. Selepas 30 minit Umi masih belum berjaya melahirkan Maryam. Kudrat semakin menipis. Doa Nabi Yusuf dan nama Allah memang tidak lekang dari bibir, silih berganti. Doktor lebih berpengalaman mengendalikan proses kelahiran bayi besar pula mengambil tempat. Dia baru sahaja selesai sahur!
'Kenapa awak tak teran?' tanya doktor.
Aku kehairanan. 'Saya tak rasa sakit doktor. Jadi saya tak tahu bila nak meneran!' jawabku ringkas.
Sejak itu, setiap kali jururawat bagi arahan untuk meneran, Umi akan cuba sehabis baik. Apa yang Umi perasan, doktor dan jururawat tenang sahaja. Mereka bergilir-gilir melakukan urutan perineum (kalau Umi tidak silap!). Azan berkumandang, selesai azan meluncur keluar anak bertuah yang diberi nama Maryam. Jam ketika itu menunjukkan pukul 5.50 pagi. Ini adalah rekod masa paling lama buat Umi. Assalamualaikum Maryam!
Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman
No comments:
Post a Comment