Friday, May 18, 2018

Hobi Menulis Suatu Kepuasan

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera semua pembaca.

Hari ini hari ketiga berpuasa. Semoga hari esok kita semua masih diberi kesempatan untuk berpuasa lagi. Umi baharu sahaja selesai solat terawih. Buat sendirian di rumah kerana anak-anak masih kecil. Khuatir akan mengganggu jemaah jika dibawa ke masjid. Alhamdulillah, hari ini berjalan dengan baik sekali. Beberapa tugasan dapat Umi sudahkan mengikut perancangan.

Jika anda semua perasan, Umi sekarang sibuk mengemaskini setiap aktiviti berkaitan buku #rezekiAjaib. Buku apa sebenarnya itu? Buat makluman semua pembaca yang Umi hargai, buku ini adalah impian Umi selama ini. Sejak kecil Umi memang suka meulis dan membaca. Umi suka menulis karangan, mengarang puisi dan banyak lagi. Kemudian, hasil tulisan ini Umi hantar ke majalah atau akhbar sekadar suka-suka. Jika ada rezeki, keluarlah hasil tulisan Umi. Imbuhan yang ditawarkan oleh pihak editor bukanlah sasaran pada masa itu. Paling bangga apabila hasil tulisan dipaparkan di dada akhbar atau majalah. Sewaktu di SBP di Muar, Umi telah dilantik sebagai mentor dalam subjek Bahasa Melayu (Penulisan). Ya Allah! Gembira sangat masa itu. Ilmu penulisan bukan ada sangat tetapi minat menulis itu yang membuatkan setiap tulisan Umi menarik perhatian guru. 

Masa berlalu terlalu pantas. Menginjak ke alam universiti, Umi mula alpa dengan bidang penulisan Umi singkirkan tanpa sedar. Dek kerana terlalu sibuk dengan tugasan dan pelajaran pada masa itu, Umi hampir melupakan hobi yang satu ini. Ruginya Umi rasa sekarang sebab tidak memanfaatkan bakat yang ada. Sewaktu di universiti dahulu, Umi mula berjinak-jinak dengan dunia blog. Namun capaian internet pada waktu itu agak terhad dan masih mahal lagi. Jadi, penulisan di blog agak terbatas. Sebelum ini Umi ada dua blog lain tetapi telah lama ditinggalkan. Kini, Umi kembali dengan semangat baharu untuk bergiat lebih aktif dalam penulisan. 

Semuanya dengan izin Allah apabila hati ini diketuk untuk menyertai projek menulis kompilasi buku #rezekiAjaib. 50 Kisah Rezeki Luar Biasa Suri Rumah telah membuka lembaran baharu hidup Umi dalam bidang penulisan. Cita-cita untuk menhasilkan buku sendiri akhirnya termakbul tanpa perancangan. Kisah bermula apabila Umi cuba menghubungi penyelaras projek ini saudari Nurul Husna. Umi ditawarkan menulis dua kisah dalam tempoh empat hari sebelum due date daripada editor Puan Khairunnisa Hamzah. Allahuakbar! Buntu masa itu. Perlu menulis cerita dalam masa yang singkat. Beberapa buah kisah berlegar-legar dalam kotak fikiran, tidak tahu mana satu kisah terbaik yang perlu dikongsikan. Wajah-wajah yang menjadi sumber inspirasi turut bermain-main di mata. Kepada Allah jua Umi pohon petunjuk dua kisah terbaik yang harus Umi catatkan. Menulis dalam jangka waktu yang pendek, mencabar minda dan fizikal Umi untuk menhasilkan yang terbaik. Syukur kerana kedua-dua kisah mendapat persetujuan daripada penyelaras dan editor. Umi tidak meletak harapan tinggi pada karya yang dihasilkan, takut kecewa jika ditolak mentah-mentah. Alhamdulillah kerana semuanya berjalan lancar.

Sebaik sahaja 50 kisah ajaib ini berjaya dikumpulkan, cabaran tidak habis di situ. Selama dua minggu Umi berkongsi rasa suka dan duka bersama 23 orang penulis lain dalam memastikan buku ini berjaya diterbitkan. Mana yang hendak tarik diri, mana yang kekurangan dana bagi proses percetakan dan tidak kurang juga yang merudum semangat juangnya semasa sedang berperang. Apa yang lebih manis tentang buku ini ialah ia dihasilkan dan diterbitkan dengan penat lelah bersama. Berbaloi rasanya apa yang telah Umi dan rakan-rakan penulis lain korbankan. Lebih kurang sebulan, buku ajaib ini berjaya diterbitkan dan hasilnya sungguh memukau!

Buku pertama mengandungi hasil tulisan Umi


Lahirnya buku ini seperti mendapat baby baharu. Sehari kalau tidak buat sesuatu berkaitan buku ini, rasa macam tidak lengkap pula hari yang dilalui. Sekarang Umi sibuk menyiapkan buku-buku yang hendak dipos. Aktiviti mempromosi juga giat dilakukan supaya lebih ramai orang di luar sana sedar akan kehadiran buku ini. Ini merupakan pengalaman pertama Umi, jadi mungkin ada kekurangan yang perlu dibaiki kelak. Hikmahnya apabila terhasil buku ini, Umi memandangan rezeki Allah dalam konteks lebih luas. Umi harap sesiapa yang telah membaca buku ini juga bakal mendapat aura yang positif. In syaa Allah.

Cukuplah setakat ini dahulu. Semoga bertemu di lain waktu.



Jurutera Penulisan
Shuhadah Sulaiman

No comments:

Post a Comment