Tuesday, May 8, 2018

Kerjaya Seorang Penjawat Awam

Assalamualaikum W.B.T 

Hai, apa khabar semua? Saya doakan semua sihat belaka dan diberi rezeki yang melimpah lagi berkat, in syaa Allah. Dalam entri pengenalan, saya telah kongsikan perihal tentang diri saya. Bagi entri kali ini saya ingin bahasakan diri sebagai 'Umi'. Sudah terbiasa membiasakan diri 'Umi' bila bersembang di alam maya (^_^) . Entri kali ini Umi ingin cerita serba sedikit tentang pengalaman Umi mencari kerja sehingga berjaya menempatkan diri sebagai seorang warga Majlis Amanah Rakyat (MARA). 

Menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan  Kimia dari UiTM pada usia 24 tahun. Selepas tamat belajar, Umi bersama beberapa orang rakan terus menetap di Shah Alam. Pada waktu itu, Umi dan rakan-rakan ditawarkan untuk bekerja secara sambilan di sebuah syarikat konsultasi 'Oil & Gas'. Bila Umi fikirkan semula, entah mengapa pada masa itu tidak terdetik langsung untuk pulang ke kampung di Johor dan mencari kerja di Johor sahaja. Sanggup bersusah-payah berulang-alik dari Shah Alam ke Petaling Jaya setiap hari kerana tempat kerja di Petaling Jaya. Terkilan bila dikenang semula! Selepas tempoh percubaan 3 bulan, Umi berjaya diserap sebagai pekerja tetap. Seterusnya, syarikat yang kecil mula berkembang dan lokasinya berpindah ke Ampang. Hampir setahun bekerja, Umi dan rakan-rakan mula mengintai peluang pekerjaan yang lain. Kebetulan, Umi terbaca iklan kerja kosong MARA. Umi pun cubalah hantar resume. Rezeki terus berpihak kepada Umi. Pihak MARA menawarkan status 'TETAP' kepada Umi. Sungguh berbelah- bahagi juga untuk membuat keputusan kerana Umi perlu meletak jawatan serta-merta dan membayar ganti rugi kepada syarikat. Kebuntuan Umi selesai setelah berbincang dengan keluarga di kampung. Mujur Umi memang ada simpanan, maka duit itulah yang digunakan untuk membayar ganti rugi tersebut. Pejam mata sahaja!



Alhamdulillah, September 2008 Umi melapor diri di Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur. Lebih kurang 4 bulan di situ, Umi dan rakan-rakan sekerja lain dihantar berkursus pula selama 6 bulan. Ajaibnya Umi bertemu jodoh dengan rakan sekerja MARA juga! Alahai, baru hendak membina kerjaya sudah mahu kahwin pula. Setelah tamat kursus, pada Julai 2010 Umi dihantar ke sebuah institusi kemahiran di Melaka bagi penempatan sementara. Semasa itu, Umi sudah pun mendirikan rumah tangga dan suami ditugaskan di sebuah koleh kemahiran di Tangkak. Kini, sudah hampir 8 tahun Umi bertugas di Institut Kemahiran MARA Jasin, Melaka. Sebuah institusi kemahiran dan teknikal bagi anak-anak bumiputera.

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang Pegawai Latihan Vokasional sangat mencabar buat Umi. Maklumlah, kemahiran teknikal lazimnya dimonopoli oleh kaum Adam. Ya! Staf bawahan Umi ramainya lelaki dan hanya ada 4 orang staf wanita sahaja. Umi pula baru setahun jagung bekerja, jadi perlulah merendah diri dalam menuntut ilmu daripada staf lebih berpengalaman. Mengendalikan Jabatan Mekanikal dengan kekuatan 35 orang kadang-kala memeningkan kepala. Umi ibarat IBU MUDA kepada semua yang lebih tua daripada Umi. Walau beza usia yang ketara, semuanya hormat dan bekerjasama. Adat dalam bekerja, ada kala masalah melanda menggoyahkan juga pendirian Umi. Syukur dikelilingi rakan-rakan sekerja yang 'sporting' susah digalas bersama, senang dikongsi jua. Begitulah serba sedikit Umi kongsikan tentang kerjaya Umi.


Umi ingin promosi di sini, jika ada anak-anak buah yang sudah tamat SPM dan keputusannya cukup-cukup makan sahaja..bolehlah datang terus ke Institut Kemahiran MARA Jasin (Umi kongsikan 'link' di bawah atau hubungi sahaja Umi. In syaa Allah Umi cuba bantu.


Institut Kemahiran MARA Jasin, Melaka



Jurutera Penulisan

Shuhadah Sulaiman

No comments:

Post a Comment